Hubungan UMNO-DAP perlu diperjelas dengan baik
KUALA LUMPUR – Para pemimpin UMNO perlu menjelaskan dengan lebih tepat kerjasama parti itu dengan DAP yang menjadi punca penolakan kuat penyokong parti Melayu itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu pemimpin UMNO perlu kerap turun padang untuk bertemu ahli di peringkat akar umbi bagi menjernihkan keadaan seperti apa yang sedang dilakukan ketika ini.
Presiden PKR itu berkata, usaha itu perlu diteruskan sekiranya UMNO mahu memulihkan sokongan yang semakin merosot.
Bagaimanapun, beliau mengakui kemampuan parti itu meraih semula kepercayaan rakyat melalui kemenangan pilihan raya kecil di Johor dan Pahang.
“Saya lihat UMNO ditolak kerana dianggap telah keluar dari landasan kerana berkawan baik dengan DAP.
“Sentimen menentang DAP ini cukup kuat di kalangan orang Melayu. Sebab itu pemimpin UMNO kena jelaskan bahawa DAP itu mewakili majoriti masyarakat Cina,” katanya.
Anwar berkata demikian pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian, hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau yakin sekiranya pemipin UMNO dapat bersatu menyelesaikan kemelut itu, masalah dalaman dan sokongan di peringkat ahli akar umbi akan dapat diselesaikan.
Beliau juga mengakui tidak melihat ada kaedah lain yang dapat menyelamatkan parti itu selain mengekalkan hubungan baik dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan.
“Pada usia saya sekarang, saya tidak senang dengan apa-apa pengkhianatan. Saya mempercayai kepimpinan yang selama ini memberikan sokongan yang baik, hubungan kerja yang sangat baik
Mengulas dakwaan yang mengatakan politik negara ini telah dikuasai sepenuhnya oleh masyarakat Cina (DAP), dibuat tanpa berlandaskan fakta.
“Sehingga timbul isu sama ada kita perlu pinda Perlembagaan untuk menetapkan seorang Perdana Menteri harus Melayu. Saya rasa ini tidak perlu dan tidak relevan.
“Biar kalau anak-anak 20 tahun lagi nak pinda, biar mereka pinda tapi buat masa sekarang, tak ada (keperluan).
“Lagipun tidak ada calon bukan Melayu yang dikemukakan, jadi apa isu dia?
Anwar berkata, orang Melayu tidak sepatutnya dilatih dengan pemikiran mengalah (inferior) sedangkan merupakan masyarakat majoriti dengan banyak kelebihan.
“Orang Melayu masih mempunyai kekuatan, rajanya, perdana menterinya, menteri besarnya, semua… jadi mengapa ditanam seolah-olah Melayu ini dalam ketakutan.
“Yang harus ditanam sepatutnya adalah keyakinan, lebih rajin bekerja dan bersaing secara adil, itu cabaran kita,” katanya.