Kebersamaan negara rakan dapat bantu Malaysia percepat proses peralihan tenaga
TOKYO – Kebersamaan semua negara dalam memainkan peranan lebih aktif berkaitan kerjasama dana hijau, insentif, fasilitasi teknologi dan juga infrastruktur dapat membantu Malaysia mempercepatkan proses peralihan tenaga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika hadir pada Mesyuarat Pemimpin Asia bagi Komuniti Pelepasan Karbon Sifar Asia (Asia Zero Emission Community- AZEC) bersempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di Tokyo, hari ini.
“Saya singgung kepentingan pemuliharaan dan pemugaran alam sekitar dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon sekali gus mampu mencapai Pelepasan Karbon Sifar menjelang 2050.
“Sementelahan, saya turut menekankan kebersamaan semua negara dalam memainkan peranan lebih aktif berkaitan kerjasama dana hijau, insentif, fasilitasi teknologi dan juga infrastruktur dalam membantu Malaysia mempercepatkan peralihan tenaga,” kongsi Perdana Menteri dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, sebentar tadi.
Anwar kemudiannya berkata, Malaysia turut menghargai peranan Jepun dalam menyediakan platform ini bagi perbincangan dan persediaan dalam melaksanakan peralihan tenaga.
AZEC yang bersidang hari ini secara sebulat suara turut meluluskan Kenyataan Bersama AZEC (Leaders Joint Statement) sebagai afirmasi dan kesediaan Negara anggota melaksanakan peralihan tenaga secara tuntas.