Kes pelajar maut dilanggar dan diseret, polis seru orang ramai serah rakaman bukti
IPOH – Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai rakaman bukti papan pemuka (dashcam) kenderaan atau kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kes seorang pelajar maut selepas dilanggar kenderaan yang disyaki dipandu seorang pegawai kanan polis pada Jumaat lepas, untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri hari ini berkata, pihaknya akan menerima sebarang bahan bukti daripada orang ramai.
“Kita masih menunggu.. yang ada dashcam, CCTV atau lain-lain, siapa yang ada itu (bahan bukti) kita akan terima.
“(Namun) Setakat ini belum lagi,” kata Mohd. Yusri.
Tambahnya, tempoh tahanan reman pegawai berkenaan akan tamat esok, namun beliau masih belum dapat mengesahkan sekiranya tempoh tersebut akan disambung atau sebaliknya.
“Biarkan polis siasat dengan telus dan adil seperti arahan KPN (Ketua Polis Negara), dan juga kita minta saksi-saksi di luar sana yang boleh membantu siasatan untuk tampil, hubungi polis atau pegawai penyiasat untuk beri keterangan,” katanya lagi.
Insiden kemalangan itu menjadi tular di media sosial sejak dua hari lepas.
Dalam kejadian itu, seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal dinaikinya dilanggar dan kemudiannya dipercayai diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dekat Meru di sini, dipercayai dipandu oleh seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun.