Jenayah & Mahkamah

Kematian Zayn Rayyan tiada kaitan penderaan ahli keluarga

PETALING JAYA – Polis menafikan wujud bekas luka lama pada badan Zayn Rayyan Abdul Matin susulan ada dakwaan mengatakan kanak-kanak austisme itu didera.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil bedah siasat tidak menemui sebarang kesan lebam atau luka lama menandakan tidak berlaku sebarang penderaan fizikal terhadap mangsa.

“Tiada kesan penderaan ditemukan pada mangsa. Ibu bapanya telah menjaganya dengan elok. Jadi spekulasi yang mengaitkan penderaan oleh ibu bapa itu tidak betu.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan kenyataan tidak berasas yang boleh mengganggu siasatan polis, ” katanya memetik laporan Bernama malam tadi.

ZayN Rayyan yang hilang pada Selasa lalu ditemui meninggal dunia pada malam Khamis lalu, kira-kira 200 meter dari kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Selepas bedah siasat, polis mengklasifikasikan kes sebagai kes bunuh.

Sementara itu, Hussein berkata, walaupun keterangan mengenai kes itu masih amat terhad pihaknya akan melakukan yang terbaik sehingga tertangkapnya pelaku.

Dalam pada itu, Hussein berkata pihaknya akan meluaskan radius kawasan siasatan di sepanjang anak sungai lokasi kanak-kanak malang berkenaan ditemukan.

Beliau berkata pihaknya turut menerbangkan dron di lokasi berkenaan pada petang tadi bagi tujuan pemetaan kawasan serta mencari sekiranya terdapat laluan tikus yang boleh digunakan untuk keluar masuk ke kawasan berkenaan.

“Polis juga mengumpul maklumat kes ini dari rumah ke rumah, terdapat 18 blok di apartmen ini yang menempatkan 2,484 buah rumah dan setakat ini kita telah selesai menemu bual penduduk di tiga blok dan akan diteruskan sehingga selesai semua,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button