Seleweng dana dan pecah amanah: Ranjeet Singh Sidhu diarah bayar lebih RM600 juta
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Malaysia dan United Kingdom mengarahkan Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu untuk membayar Kumpulan Zavarco sebanyak RM602 juta atas pelbagai pelanggaran tugas jenayah komersial.
Ranjeet Singh yang juga merupakan bekas Ketua Pengarah Urusan Kumpulan Zavarco didakwa atas pelbagai kesalahan korporat dan penyelewengan dana termasuk kes pecah amanah.
Tertuduh bersalah selepas didakwa dibawah akta jenayah UK atas kesalahan mengeluarkan saham syarikat awam (Zavarco Plc) sebanyak €101.5 juta (RM 512 juta) kepada dirinya tanpa membayar balasan tunai.
Selain itu, penghakiman mutlak bagi kes ini di Mahkamah Tinggi UK mengarahkan Ranjeet Singh Sidhu membuat bayaran €101.5 Juta termasuk faedah.
Dalam pada itu, bagi 2 kes lainnya adalah tertakluk kesalahan jenayah di Malaysia iaitu penghakiman sebanyak RM29 juta (tidak termasuk faedah) dalam kes diantara Zavarco Berhad lawan Ranjet Singh Sidhu di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana secara salah memanipulasi akaun Zavarco Berhad untuk menuntut wang bagi dirinya sendiri sebagai bayaran balik untuk pendahuluan pengarah.
Penghakiman RM61 juta (termasuk ganti rugi punitif dan teladan tetapi tidak termasuk faedah) dalam kes Zavarco plc lawan Ranjeet Singh Sidhu di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana melesapkan RM12 juta wang pelabur ke dalam akaun peribadinya.
Dalam pada itu, Mahkamah Tinggi UK juga memerintahkan beliau membayar €84 juta dan faedah tambahan kira-kira €17.5 juta kepada Zavarco plc, yang diterjemahkan kepada penghakiman lebih RM500 juta dalam kadar pertukaran matawang semasa.
Walau bagaimanapun, Hakim Mahkamah Rayuan UK telah menolak permohonan bagi rayuan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan bahawa Ranjeet tetap bertanggungjawab untuk membayar jumlah yang ditetapkan kepada Zavarco plc. Mahkamah Rayuan turut membuat kesimpulan pada 22 Julai 2022 bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk melepaskan tertuduh daripada liabilitinya.
Untuk satu kes lain, Zavarco plc melalui Mahkamah Tinggi Malaysia telah menyaman Ranjeet sebagai bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Zavarco dan Encik Loo Seng Kit iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Zavarco, untuk satu penyelewengan wang pelabur lebih RM12 juta.
Mahkamah Tinggi pada 24 April 2018, telah memerintahkan Ranjeet dan Loo membayar balik wang RM 12 juta yang di curi kepada Zavarco plc dan masih belum dibayar sehingga hari ini.
Mahkamah juga merekodkan satu deklarasi bahawa Ranjeet dan Loo telah bertindak dalam cara yang memungkiri kewajipan-kewajipan dan/atau obligasi-obligasi kontraktual, statutori dan/atau peraturan, fidusiari dan/atau undang-undang lazim mereka sebagai pengarah-pengarah eksekutif dan/atau pengarah-pengarah Zavarco plc.
Ranjeet dan Loo telah memfailkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan kemudiannya di mahkamah Persekutuan, di mana rayuan-rayuan mereka telah ditolak sebulat suara.
Mahkamah juga telah memerintahkan penghakimkan bayaran ganti rugi am kepada Zavarco plc serta ganti rugi punitif dan teladan berjumlah kira-kira RM49 juta terhadap Ranjeet dan Loo.
Menurut kenyataan dari Eksekutif Pelabur dan Perhubungan Pelabur Zavarco PLC, BS Maniam, tertuduh juga turut diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Malaysia membayar penghakiman sebanyak RM29,412,470 kepada Zavarco Berhad atas kes pecah amanah.
Mahkamah Tinggi telah menolak tuntutan Ranjeet dan sebaliknya memberikan ganti rugi khas yang perlu dibayar oleh Ranjeet kepada Zavarco Berhad berjumlah lebih RM29 juta dan merekodkan pengisytiharan berasingan bahawa Ranjeet telah bertindak dalam cara yang memungkiri kewajipan-kewajipan dan/atau obligasi-obligasi kontraktual, statutori dan/atau peraturan, fidusiari dan/atau undang-undang lazim mereka sebagai pengarah-pengarah eksekutif dan/atau pengarah-pengarah Zavarco Berhad.