Berita Semasa

Lebih RM1 bilion rugi penipuan dalam talian

PUTRAJAYA – Kes jenayah dalam talian meningkat sebanyak 37 peratus bagi tempoh Januari hingga November 2023 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022 dengan nilai kerugian berjumlah RM1.13 bilion.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman menunjukkan sebanyak 23,608 kes jenayah dalam talian direkodkan pada tahun 2022 dan ia meningkat kepada 32,366 kes pada tahun ini.

“Hal ini jelas menunjukkan bahawa jenayah penipuan kewangan dan scam memberi risiko yang sangat besar terhadap kemandirian negara, di mana kesan langsung jenayah kewangan secara terancang (organised financial crime) boleh menyebabkan negara mengalami kerugian kewangan.

“Justeru, langkah-langkah proaktif bagi melindungi maklumat peribadi dan data sensitif negara perlu diutamakan bagi memastikan integriti sistem digital dan keselamatan negara kekal utuh serta jalinan kerjasama antara pelbagai entiti perlu dipupuk di antara pihak kerajaan, organisasi swasta, sektor perniagaan dan juga individu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan peringkat Wilayah Perseketuan Putrajaya di Hotel Marriot di sini, hari ini.

Selain itu, Fadhilah berkata, kerajaan sentiasa peka terhadap isu yang melibatkan keselamatan rakyat khususnya isu keselamatan, ancaman dan serangan siber turut tidak terkecuali.

Katanya, pada 14 Oktober 2022, kerajaan telah menubuhkan Pusat Respon Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre atau dikenali sebagai NSRC) sebagai wadah pembanterasan jenayah kewangan siber.

“Penubuhan pusat ini merupakan iltizam bersama pelbagai pihak terutamanya daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan institusi-institusi kewangan,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button