Jenayah & Mahkamah

Dijerut atau tidak, polis masih siasat

Susulan bedah siasat ke atas jenazah allahyarham siang tadi

CYBERJAYA – Polis masih menyiasat punca kecederaan pada leher Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin susulan bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh, siang tadi.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, setakat ini siasatan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

“Bedah siasat yang dijalankan selama lima jam itu mendapati memang ada kesan cedera pada bahagian leher mangsa, dan beberapa bahagian tubuh lain.

“Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan secara langsung sama ada kesan tersebut berpunca daripada jerutan atau apa-apa yang mengakibatkan kematian mangsa kerana ia masih dalam siasatan,” katanya kepada portal Sinar Harian, hari ini.

Susulan bedah siasat itu juga, beliau berkata, pihaknya akan merakam semula keterangan ibu bapa Allahyarham.

“Kita akan rakam semula keterangan ibu dan bapa mangsa berkaitan kejadian berkenaan.

“Selain itu, pasukan khas turut ditubuhkan untuk menjalankan siasatan,” katanya lagi

Sebelum ini, kehilangan Allahyarham Zayn Rayyan yang disahkan autistik menggemparkan negara dan lebih tragis apabila allahyarham ditemukan meninggal dunia di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, pada malam semalam.

Show More

Related Articles

Back to top button