Jenayah & Mahkamah

Kes tikam peniaga nasi, polis tahan tiga suspek

GEORGE TOWN – Polis menahan tiga suspek bagi membantu siasatan kes seorang peniaga nasi ditikam sebanyak 27 kali, di sini petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V Saravanan berkata, ketiga-tiga suspek itu, dua lelaki dan seorang wanita ditahan di sekitar Jelutong pada pukul 7.30 malam tadi.

Menurutnya, kesemua suspek yang juga rakan rapat mangsa direman tiga hari sehingga 8 Disember ini untuk siasatan lanjut.

“Kita mendapat perintah reman selama tiga hari untuk menjalankan siasatan ke atas kesemua suspek.

“Ketiga-tiganya berusia lingkungan 29 hingga 42 tahun akan disiasat memgikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya hari ini.

Dalam kejadian semalam, seorang peniaga nasi ekonomi di Pasar Awam Jalan Perak maut setelah ditikam 27 kali di keseluruhan badannya di tempat meletak kenderaan di sebuah pangsapuri di Jalan Perak, di sini.

Mangsa berusia lingkungan 60-an disahkan meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan.

Mangsa dipercayai diserang dua suspek, dengan salah seorangnya menikam mangsa manakala seorang lagi menunggu di atas sebuah motosikal.

Show More

Related Articles

Back to top button