Berita Semasa

Buat rayuan jika gagal mohon kredit eMadani – Ahmad Maslan

PUTRAJAYA – Pemohon bantuan kredit eMadani yang ditolak permohonannya boleh membuat rayuan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Bagaimanapun, mereka yang rasa layak tetapi permohonan gagal boleh membuat rayuan untuk permohonan semula,” katanya dan menjelaskan permohonan dalam semua aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet lain akan ditolak jika gagal pada permohonan pertama.

Beliau menjelaskan, antara punca kegagalan permohonan atau tidak termasuk dalam kumpulan kelayakan adalah kerana tidak mengemukakan cukai tahun taksiran 2022 dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata, hal ini kerana kelayakan bagi bantuan eMadani itu dikenal pasti melalui penyata cukai tahun taksiran 2022 jika pemohon bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah.

“Sekiranya mereka membuat perisytiharan cukai dan masih tidak layak, kemungkinan pendaftaran nama mereka dalam platform e-dompet dan rekod LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) adalah tidak sama dan boleh merayu.

“Contoh individu yang tidak dapat memohon juga termasuk pelajar universiti kerana telah menerima eBeliaRahmah,” kata Ahmad Maslan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan perbelanjaan menggunakan kredit eMadani di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Beliau seterusnya berkata, mereka yang gagal boleh membuat rayuan melalui beberapa platform termasuk menghantar e-mel menerusi emadani@treasury.gov.my atau menghubung talian 03-88824565 dan 1800882747.

Ahmad Maslan kemudiannya menambah, isu berkaitan permohonan eMadani yang dihadapi oleh orang ramai akan dibawa ke mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Kewangan.

Show More

Related Articles

Back to top button