Berita Semasa

Jangan terpedaya tawaran ‘cash out’ kredit eMadani – Fahmi

Helah scammer perdaya pengguna

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terperdaya dengan helah scammer yang menawarkan khidmat penebusan tunai (cash out) bagi kredit eMadani.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, aktiviti penipuan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini dilihat semakin berleluasa setiap kali kerajaan mengumumkan pemberian bantuan untuk rakyat.

“Contohnya dulu, sewaktu diumum boleh keluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), macam-macam scam berlaku, apabila diumumkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), macam-macam juga berlaku. Samalah untuk eMadani.

“Tolong hati-hati, baca betul-betul (syarat)… jangan ‘cash out’, sebab kalau ada siapa-siapa kata dia boleh bagi duit, dijamin dia tak akan bagi duit, kita akan hilang RM100,” katanya.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian ketika diminta mengulas isu penebusan tunai itu yang ditawarkan di media sosial sejak semalam.

Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan menerima lebih tujuh juta permohonan bagi kredit eMadani setakat pukul 5 petang Isnin.

Fahmi berkata, angka tujuh juta itu satu jumlah amat besar dan sudah tentu memerlukan sedikit masa bagi membuat pengesahan identiti pemohonan dan seterusnya membuat penyaluran kredit.

“Saya ada dapat maklum balas dan baca laporan media tentang ada menyatakan terpaksa tunggu lama selama lima hari, tapi bila kita semak dengan MOF ada sedikit salah faham dan saya rasa laporan telah dibetulkan, iaitu sehingga lima hari, sepantas sehari, paling lama lima hari,” katanya lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan tuntutan kredit eMadani berkata, penebusan secara sekali bayar itu akan memberi manfaat kepada 10 juta rakyat dewasa yang layak, melibatkan peruntukan RM1 bilion.

Bantuan itu disasarkan bagi rakyat berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah melibatkan golongan dewasa berusia 21 tahun ke atas dalam kalangan B40 serta M40.

Nilai kredit eMadani sebanyak RM100 itu bagaimanapun tidak boleh digunakan bagi pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai, dan hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terlibat iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet atau QR DuitNow di 1.8 juta peruncit atau perniagaan di seluruh negara.

Show More

Related Articles

Back to top button