Berita Semasa

Politeknik Ungku Omar dinaiktaraf politeknik APEX

PUTRAJAYA – Politeknik Ungku Omar (PUO) akan dinaik taraf sebagai politeknik bertaraf APEX.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengumumkan perkara itu berkata, penaiktarafan tersebut dilaksanakan dengan tujuan mengembangkan politeknik APEX tersebut kepada sebuah Institut Teknologi pada masa akan datang.

“…terdapat 2 fokus dan sasaran utama di bawah penaiktarafan ini.

“Pertama, institusi ini akan menawarkan pelbagai program yang lebih advanced dan kompetitif dan kedua, komposisi peringkat pengajian institut teknologi ini akan menyaksikan peningkatan tawaran sehingga 50 peratus program ijazah,” kata Mohamed Khaled.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023 – 2030, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pewujudan sebuah politeknik APEX merupakan fokus kelima dalam Transformasi Politeknik 2023-2030 yang digariskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Empat lagi fokus dalam program transformasi ini adalah TVET untuk semua; Mempelbagaikan laluan kemasukan khas termasuk laluan akademik yang lebih tersusun; Meningkat dan mempercepatkan adaptasi teknologi; dan Pemantapan kerjasama dengan industri.

Show More

Related Articles

Back to top button