NGO zahir kebimbangan, pendakwaan politik kini dianggap norma biasa
KUALA LUMPUR – Beberapa siri kes pendakwaan ahli politik dilihat satu proses pendakwaan bersifat balas dendam dan ugutan apabila kerajaan pada hari ini dilihat mengambil tindakan pendakwaan terpilih.
Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PEKEMAS), Faizan Mohd Noor berkata, rakyat muak dengan kes-kes pendakwaan ahli-ahli politik membazir masa dan duit pembayar cukai yang sepatutnya difokus kepada kemaslahatan rakyat.
“Kes-kes melibatkan ahli politik yang dilihat bersifat pendakwaan bermotifkan politik seperti pendakwaan ke atas Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Segambut, Adam Radlan yang berdepan enam lagi pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM3.7 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 9 November lalu.
“Sebelum ini, ahli politik ini berdepan enam pertuduhan lain iaitu lima kes rasuah berhubung projek Jana Wibawa dan satu AMLA sekali gus menjadikan ahli perniagaan tersebut berdepan 12 pertuduhan meminta, menerima rasuah dan AMLA, yang mana ia akan didengar oleh Hakim, Suzana Hussin.
“Pada masa yang sama, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas satu pertuduhan menghasut, dengan mengaitkan pembebasan seorang pemimpin daripada 47 kes jenayah dengan sabitan bersalah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, beberapa minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Faizan, apabila kerajaan baharu memimpin Malaysia, rakyat mengharapkan pimpinan baharu ini membawa Malaysia ke sistem baharu yang lebih adil, saksama dan bebas secara sepenuhnya.