Negara Islam diseru bekerjasama, bukan bersaing secara agresif – PM
KUCHING – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru negara-negara Islam untuk bekerjasama serta saling melengkapi dan bukannya bersaing secara agresif antara satu sama lain.
Perdana Menteri berkata, keadaan pascanormal yang penuh dengan kerumitan, percanggahan dan ketidaktentuan yang berlaku secara serentak bererti kerjasama ini perlu disegerakan bagi memajukan dan mengangkat pembangunan di kalangan negara-negara Islam.
“Negara Islam juga boleh menjalin kerjasama bagi meneroka potensi besar pasaran halal yang turut diakui oleh negara minoriti Islam yang saya pernah lawati sama ada di Asia atau luar Asia.
“Saya mengambil contoh Malaysia yang menjalinkan kerjasama rapat dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah terutamanya di wilayah Selatan Thai.
Langkah ini secara tidak langsung meningkatkan lagi hubungan dua hala, serta mengukuhkan peluang pelaburan dan perdagangan yang memanfaatkan rakyat terutamanya di kawasan miskin,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu Anwar menghadiri Majlis Makan Malam Gala Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).
Majlis ini turut dihadiri Naib Presiden Indonesia, Dr. Ma’ruf Amin dan Premier Sarawak, Tan Sri Dr. Abang Johari Tun Openg.
Dalam pada itu Anwar turut berkongsi keazaman Malaysia untuk terus menerajui pasaran halal antarabangsa dengan menyasarkan nilai eksport sebanyak RM63.1 bilion menjelang 2025.
Sehubungan itu katanya, Malaysia telah pun mengambil langkah awal dalam mengorak legasi dalam sektor kewangan Islam, dengan pewujudan institusi seperti Bank Islam Malaysia dan Lembaga Tabung Haji.
“Usaha ini telah membolehkan sektor kewangan Islam di Malaysia menjadi antara pasaran perbankan Islam dan pasaran modal Islam yang utama di dunia.
“Saya juga telah menyatakan bahawa sebagai sebuah negeri yang turut kaya dengan pelbagai etnik, budaya dan agama, usaha negeri Sarawak dalam memastikan kesejahteraan semua pihak terus terpelihara dan menjadikan kepelbagaian sebagai satu kekuatan wajar dicontohi oleh para hadirin GMBF ini,” ujarnya.