Aman Palestin beri SPRM 3 hari nyahbeku akaun
Akan ambil tindakan undang-undang jika tidak dilaksanakan
BANGI – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin, memberi tempoh tiga hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyahbeku puluhan akaun bank milik pertubuhan bukan kerajaan itu.
Peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, sekiranya agensi itu gagal berbuat demikian, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di pejabat Aman Palestin, di sini malam tadi.
Tambahnya, tindakan SPRM yang mendedahkan butiran pembekuan dan rampasan barangan termasuk empat jongkong emas adalah berniat jahat.
“Dakwaan kononnya jongkong emas itu digunakan untuk menyeleweng dana sumbangan awam adalah tidak benar kerana ia suatu bentuk pelaburan dan dibenarkan berdasarkan kuasa yang diberikan ahli lembaga pengarah Aman Palestin.
“Dakwaan itu berniat jahat dan tidak benar sama sekali. Ada 16 kuasa diberikan kepada ahli lembaga pengarah Aman Palestin dan kuasa untuk melabur itu ada dalam pelbagai mekanisme.
“Ia tidak salah, lagipun emas itu bernilai dan berharga serta mudah untuk ditukarkan kepada tunai sebelum dihantar kepada mereka yang memerlukan bantuan. Dakwaan itu meleset, tidak betul dan tidak berintegriti selain berniat jahat,” kata Muhammad Rafique lagi.
SPRM sebelum ini mengesahkan sudah membekukan 41 akaun bank syarikat milik pertubuhan itu berjumlah RM15,868,762 selepas didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.
Siasatan awal SPRM mendapati, penyaluran dana awam kepada Aman Palestin ada yang digunakan untuk membeli aset atas nama syarikat proksi.