Suntikan peruntukan tambahan RM2 bilion sekiranya pelaksanaan Dana Komuniti Madani berkesan
PUTRAJAYA – Kerajaan tidak menolak kemungkinan menambah suntikan peruntukan sehingga RM2 bilion kepada Dana Komuniti Madani sekiranya pelaksanaannya berkesan dalam meningkatkan ekonomi rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana berjumlah RM1 bilion yang diumumkan pada Belanjawan 2024 lalu itu merupakan pendekatan pertama yang dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada puluhan juta rakyat.
“Bukan pegawai kementerian yang akan luluskan projeknya, tetapi kerajaan akan bagi wang ini kepada penghulu, penggawa atau jawatankuasa kampung yang akan memutuskan apakah projek ekonomi untuk kampung mereka.
“Ini kali pertama kita laksanakan bukan untuk tujuan membaiki jambatan atau masjid, itu peruntukan lain, yang ini hanya untuk tujuan aktiviti ekonomi seperti tanam sayur atau membuat kraftangan yang diputuskan oleh mereka sendiri,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Karnival Usahawan Desa, KUD di Anjung Floria, di sini hari ini.
Kata Perdana Menteri, setiap kampung, desa, rumah panjang atau kawasan projek perumahan rakyat, (PPR) di kawasan bandar akan diberi dana daripada kerajaan berjumlah RM50,000 hingga RM100,000 untuk tujuan itu.
Seluruh agensi dan jabatan di bawah kementerian ujarnya perlu mengambil perhatian berhubung inisiatif berkenaan untuk membantu mana-mana jawatankuasa komuniti dalam melaksanakan aktiviti ekonomi terbabit.
Beliau berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, (KKDW) dan pihak unit penyelarasan pelaksanaan, ICU Jabatan Perdana Menteri, akan ditugaskan untuk memantau pelaksanaan inisiatif berkenaan.