Jenayah & Mahkamah

Isu rasuah REE, bekas setiausaha politik MB Kedah mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan projek perlombongan unsur nadir bumi (REE), Julai lalu.

Mohamad Hilmi Abdul Wahab, 50, mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Hilmi didakwa meminta wang sebanyak RM250,000 daripada Pengarah syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn. Bhd., Liana Mamat @ Khalid melalui individu bernama, Syed Muhammad Syid Aluvi pada 4 Julai lalu, di sebuah premis di Taman Sri Hartamas.

Tertuduh juga didakwa menerima RM150,000 daripada Liana pada 11 Julai lalu, di Nasi Kandar Pelita, Desa Sri Hartamas di sini.

Suapan berkenaan adalah bagi syarikat Kumpulan Perlombongan REE mendapat kelulusan permohonan Lesen Perlombongan dan Lesen Penjelajahan Unsur Nadir Bumi (REE) di sekitar Kedah.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Show More

Related Articles

Back to top button