Agus dipanggil beri keterangan petang ini – KPN
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Agus dipanggil berhubung siasatan video bualan lucah sambil menambah, proses rakaman keterangan itu dijadualkan pada pukul 2 petang.
Rakaman keterangan itu akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, yang mengendalikan siasatan kes.
Sementara itu, proses rakam keterangan ke atas Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani akan diadakan dalam tempoh terdekat.
“Selain Mohammad Agus dan Abdul Wahab, terdapat beberapa lagi individu-individu yang dijangka akan dipanggil (rakam keterangan) bagi membantu siasatan,” katanya, hari ini.
Mengenai identiti Mr H, Razarudin berkata polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti siapakah individu berkenaan.