Berita Semasa

Menginjak usia setahun pentadbiran, PM janji dasar lebih baik untuk rakyat

SAN FRANCISCO – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan lebih banyak inisiatif dan dasar yang menguntungkan rakyat akan dilaksanakan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Anwar berkata, usaha mencapai hasil daripada pentadbiran yang lebih baik itu bertepatan dengan pemerintahan kerajaan Madani yang menginjak usia setahun.

“Ruangan ini juga saya minta menteri Kabinet yang bersama untuk jelaskan usaha mereka menerusi kementerian masing-masing.

“Menginjak setahun usia Kerajaan Madani, saya tegaskan bahawa kita akan lakukan lebih banyak inisiatif dan dasar yang menguntungkan rakyat keseluruhan,”katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dan sesi dialog serta makan malam bersama warga Malaysia di San Francisco, Amerika Syarikat, semalam.

Anwar berkata, beliau dan Isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berbesar hati untuk bertemu dan berdiskusi bersama warga termasuk pelajar-pelajar Malaysia di sana.

Anwar Ibrahim menghadiri jamuan makan malam bersama diaspora dan pelajar Malaysia di San Francisco. FOTO: PMO

“Mengadakan sesi dialog dan makan malam bersama rakyat dan pelajar Malaysia di San Francisco.

“Saya dan Azizah amat berbesar hati dapat bertemu dan berdiskusi bersama mereka dalam majlis yang cukup santai,”katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pertemuan itu, beliau juga sempat menjawab pelbagai persoalan terkait ekonomi dalam kalangan pelajar di luar negara.

“Saya juga sempat menjawab pelbagai persoalan dan isu yang diajukan antaranya terkait ekonomi, prestasi ringgit, penghijrahan bakat tempatan dan pelaksanaan inisiatif kerangka Ekonomi Madani,” katanya.

Anwar berada di San Francisco California bersempena Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Show More

Related Articles

Back to top button