Bunuh rakan kongsi, usahawan tudung didakwa di mahkamah
MARANG – Seorang usahawan tudung dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian rakan kongsi perniagaannya, pada 1 November lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Nooraini Remali, 35 tahun.
Wanita itu hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh rakan kongsinya seorang warga emas berusia 65 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di tepi jalan utama berdekatan Pejabat Agama Hulu Terengganu sekitar pukul 3.30 pagi, 1 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 15 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Mohd. Jazlee.
Manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.