Jenayah & Mahkamah

Mahkamah Tinggi jatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan ke atas Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan ke atas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas mendapati pihak Syed Saddiq, 31, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq didakwa atas satu pertuduhan menyalah gunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali, manakala peguam, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

Show More

Related Articles

Back to top button