Berita Semasa

Mangsa banjir di Selangor, Perak meningkat

CYBERJAYA – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar negeri Selangor meningkat kepada 789 orang merangkumi 199 keluarga setakat jam 8 pagi hari ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, satu PPS dibuka di Dewan Komuniti Taman Desa Hulu Yam Bharu yang menempatkan 13 mangsa banjir daripada dua keluarga.

Katanya, di daerah Hulu Langat, dua PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi terdiri 87 mangsa daripada 20 keluarga manakala di SK Ulu Semenyih menempatkan 32 mangsa daripada sembilan keluarga.

“Daerah Sepang pula sebanyak empat PPS dibuka iaitu Dewan Orang Ramai Taman Gemilang menempatkan 48 mangsa daripada 14 keluarga, Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali (97 mangsa), Dewan MPKK Kampung Jenderam Hilir (89 mangsa) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil (241 mangsa).

“Dua lagi PPS dibuka di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang (64 mangsa), Dewan Orang Ramai Dato Hormat, Seri Cheding (lapan mangsa),” katanya memetik laporan Bernama.

Tambahnya, satu PPS dibuka di Daerah Petaling iaitu Dewan Camelia, Putra Height (110 mangsa).

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS negeri itu adalah sebanyak 310 orang membabitkan 99 keluarga berbanding 91 keluarga pada sebelah malam.

Katanya, 186 mangsa adalah di daerah Hilir Perak, manakala 154 lagi dari daerah Kerian.

Show More

Related Articles

Back to top button