Luar Negara

Pakai, tayang logo berkaitan konflik Israel-Palestin di Singapura satu kesalahan jenayah

SINGAPURA – Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura menetapkan pemakaian atau penayangan secara umum sebarang logo berkaitan perang Israel-Palestin tanpa permit adalah satu kesalahan.

MHA dalam notis nasihatnya menegaskan, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga SGD$500 (RM1,722) di bawah Akta Logo Kebangsaan Asing (Kawalan dan Paparan) 1949.

Undang-undang berkenaan merangkumi semua logo kebangsaan asing termasuk bendera dan kain rentang mana-mana negara, malah pengembara asing yang memakai logo seumpamanya boleh dinafikan kemasukan ke Singapura.

MHA berkata, ia sedar bahawa pakaian dan barangan tertera simbol atau logo kebangsaan asing berkait perang Israel-Palestin sedang dijual dalam talian, dipakai atau ditayangkan oleh orang awam.

MHA berkata, perang Israel-Palestin yang berlaku sekarang adalah isu yang mempengaruhi emosi dan menasihati orang ramai supaya jangan menayangkan atau memakai barangan berkaitan konflik berkenaan.

Bagi yang mahu membantu mangsa konflik itu, MHA berkata mereka boleh menyumbang kepada pihak yang diamanahkan mengutip sumbangan dana atau derma bagi tujuan bantuan kemanusiaan.

Sementara itu, perhimpunan di Sudut Penceramah berhubung isu berkaitan perang Israel-Palestin turut menyalahi undang-undang dan dilarang sama sekali.

Menteri bagi Hal Ehwal Dalam Negeri, Muhammad Faishal Ibrahim, dalam ucapannya di Parlimen semalam berkata, dalam tempoh tiga tahun ini, tujuh permohonan seumpamanya di Sudut Penceramah Hong Lim Park ditolak.

Katanya, lima daripada permohonan itu adalah khusus bagi acara berkaitan perang Israel-Palestin.

Show More

Related Articles

Back to top button