Jabatan Penerangan tarik balik pas media wartawan Harakah?
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini mendakwa Jabatan Penerangan telah menarik semula kad perakuan media wartawan Harakah Daily.
Tindakan itu menurut beliau berkait dengan penerbitan artikel yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlatarbelakangkan bendera Israel.
“Jangan ambil tindakan terhadap kami akhbar yang atas nama parti.
“Saya akui teguran PM pagi tadi berhubung Harakah (artikel Harakah bertajuk ‘Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin?
“Satu tindakan yang tidak pernah akhbar Harakah alami sejak zaman Maha Zalim, tak pernah ambil tindakan,” katanya merujuk kepada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahmad Fadhli berkata demikian semasa perbahasan Belanjawan 2024 Peringkat Jawatan Kuasa bagi Kementerian Perpaduan Negara, di Dewan Rakyat petang ini.
Perdana Menteri sebelum itu, memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dirinya mempunyai hubungan dengan Israel.
Terdahulu, ketika membahaskan isu perpaduan, Ahmad Fadhli menyarankan kerajaan mengambil tindakan kepada pihak termasuk media yang menyentuh isu sensitiviti yang boleh menggugat perpaduan.
Ahmad Fadhli turut menggesa kerajaan mengawal setiap hantaran yang boleh menggugat perpaduan masyarakat dengan memberi contoh hantaran dibuat Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.
Pada 2019, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendedahkan Harakah telah berhutang dengan pencetaknya, Angkatan Edaran yang kini sudah muflis.
Bulan lalu, bekas pencetak Harakah menyelar PAS kerana menjalani “gaya hidup mewah” walaupun pada hakikatnya bayaran tertunggak masih belum dijelaskan.