Jenayah & Mahkamah

Lelaki bertopeng rompak barangan kemas hampir RM1.4 juta

KUALA KANGSAR – Sebuah kedai emas di sini kerugian hampir RM1.4 juta apabila dua jurujualnya yang sedang membawa barangan kemas ke premis tersebut dirompak di hadapan kedai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, laporan kejadian itu diterima pada pukul 11.22 pagi melibatkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan tukul.

Menurutnya, suspek memakai sarung muka bertindak memecahkan cermin kereta dinaiki dua jurujual syarikat emas yang membawa barang kemas tersebut untuk dihantar ke premis.

“Mangsa berusia lewat 30-an ketika itu baru sahaja turun dari kereta sebelum secara tiba-tiba didatangi beberapa lelaki memakai topeng bersenjatakan parang dan tukul.

“Cermin kereta mangsa telah dipecahkan bagi mendapatkan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada mangsa mahupun orang awam.

Katanya, operasi mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Video rompakan tersebut yang turut menjadi tular di media sosial menunjukkan sekumpulan lelaki menaiki dua kenderaan berhenti secara mengejut di tepi kenderaan mangsa.

Kelihatan tiga lelaki berpakaian serba hitam dan menutup muka menggunakan sarung hitam melarikan beg-beg mengandungi barang kemas dari kereta mangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button