Luar Negara

Israel mengaku serang konvoi ambulans, membunuh 15 orang

GAZA – Israel mengaku bertanggungjawab melakukan serangan konvoi ambulans di luar Hospital Al-Shifa di Gaza City semalam yang membunuh sekurang-kurangnya 15 orang dengan lebih 50 tercedera.

Pihak berkuasa kesihatan Hamas pada Jumaat berkata, rakaman dari tempat kejadian menunjukkan berbelas mangsa berlumuran darah berselerak di atas tanah berhampiran tapak serangan.

Dalam serangan kira-kira pukul 4 petang itu, lima buah ambulans sedang mengangkut mangsa dari Gaza menuju ke Rafah, di sempadan Mesir.

Menurut Pasukan Pertahanan Israel (IDF), mereka menyasarkan ambulans kerana percaya ia digunakan oleh Hamas sekaligus mempunyai hak untuk menyerang.

“Sebuah pesawat IDF menyerang ambulans yang dikenal pasti oleh tentera sebagai digunakan oleh sel pengganas Hamas berdekatan dengan kedudukan mereka di zon pertempuran,” tulisnya.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) berkata, peluru berpandu menyasarkan ambulans yang mengetuai konvoi kurang 1 kilometer dari hospital Al-Shifa.

Ketika ambulans lain meneruskan perjalanan ke hospital, ambulans kedua disasarkan oleh serangan peluru berpandu, hanya kira-kira dua meter dari pintu hospital, kata PRCS dalam satu kenyataan.

Menurut laporan, hospital itu sesak dengan orang awam ketika serangan itu berlaku.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus menyatakan terkejut dan mengutuk serangan itu.

“Kami mengulangi, pesakit, pekerja kesihatan, kemudahan, dan ambulans mesti dilindungi pada setiap masa, sentiasa,” katanya pada hantaran di X.

Show More

Related Articles

Back to top button