Berita Semasa

Tiada pelajar MRSM Kuala Klawang keracunan makanan – MARA

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesahkan tiada pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang keracunan makanan seperti yang ditularkan dalam media sosial semalam.

Menurut MARA dalam satu kenyataan, siasatan dilakukan pihak pengurusan MRSM bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) juga mendapati dewan selera institusi itu dalam keadaan bersih serta proses pengendalian makanan mematuhi standard ditetapkan.

“Lanjutan daripada pemerhatian tersebut, PKD dan pihak pengurusan MRSM memberi beberapa teguran ke atas pengusaha Dewan Selera.

”Pemantauan ke atas pelajar juga telah dilaksanakan dan setakat ini tiada pelajar terlibat dengan gejala keracunan makanan seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MARA berkata pihaknya prihatin dengan kebajikan dan keselamatan seluruh pelajar di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika perkara seumpama itu berlaku mengikut prosedur ditetapkan.

“MARA meminta ibu bapa tidak perlu bimbang dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Semalam, ibu kepada pelajar MRSM berkenaan mendakwa dewan selera sekolah itu menghidangkan telur rebus yang telah rosak menyebabkan ramai pelajar mengalami sakit perut dan cirit birit.

Susulan itu, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA menyiasat kejadian terbabit dan mengambil tindakan tegas serta memastikan kes tidak berulang.

Show More

Related Articles

Back to top button