Jenayah & Mahkamah

Rakan niaga dirempuh, ditikam 15 kali hingga maut

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita warga emas maut dibunuh dengan kejam oleh rakan niaganya ekoran tidak berpuas dengan agihan hasil keuntungan perniagaan.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi hari ini, suspek berusia 35 tahun bukan sahaja melanggar mangsa sehingga tercampak ke dalam longkang malah bertindak kejam menikam tubuh wanita warga emas berkenaan sebanyak 15 kali sehingga mati di Batu 23, Jalan Kuala Berang di sini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan awal percaya suspek dan rakan bisnesnya yang berusia 65 tahun telah bertengkar berkaitan perniagaan mereka sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah di Wakaf Tapai, Marang.

“Mangsa kemudiannya bertindak keluar dari kereta Honda Jazz dinaiki mereka sebelum suspek yang memandu nekad melanggarnya.

“Impak perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang yang terletak di tepi jalan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Mazli berkata, selepas bertindak kejam menikam mangsa bertubi-tubi yang sedang tertiarap di dalam longkang itu suspek kemudiannya dengan selamba meninggalkan mangsa dan kereta Honda Jazz tersebut.

Katanya, suspek kemudian menumpang sebuah kenderaan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian tersebut tidak lama kemudian.

“Wanita berusia 35 tahun telah berjaya ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai pada pukul 11 pagi.

“Sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek telah ditemui dibuang berhampiran kawasan rumah suspek,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button