Kerajaan optimis LHDN mampu capai sasaran kutipan cukai bagi 2023
CYBERJAYA – Kerajaan optimis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mampu mencapai sasaran kutipan cukai sebanyak RM185.02 bilion bagi tahun 2023.
Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau yakin dengan kemampuan LHDN mencapai sasaran yang diberikan.
“Kenaikan peratusan sasaran kutipan langsung sudah semestinya merupakan satu cabaran besar buat LHDN, namun saya optimis pengurusan tertingginya sudah cukup matang dan amat berpengalaman dalam pentadbiran percukaian untuk berusaha sebaik mungkin demi memenuhi ekspektasi Kerajaan,” kata Ahmad.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Inovasi dan Integriti LHDN 2023, di sini hari ini.
Setakat 30 Okt, kata Ahmad, LHDN telah berjaya mengutip sebanyak RM151.489 bilion.
Pada 2022, LHDN membuat kutipan cukai langsung tertinggi sebanyak RM175.4bil, meningkat 21.75 peratus berbanding kutipan pada 2021.