Isu Palestin: Belanda hormati pendirian Malaysia
PUTRAJAYA – Belanda menghormati pendirian Malaysia berhubung isu Palestin serta bersetuju perlu ada langkah segera untuk menghentikan serangan Israel ke atas negara tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte ketika mereka mengadakan pertemuan di Seri Perdana, di sini hari ini.
“Sewaktu menerima kunjungan hormat rakan sejawat, Mark Rutte, Perdana Menteri Belanda hari ini, kami sempat bertukar fikiran mengenai isu semasa termasuk serangan ke atas Palestin.
“Beliau menghormati pendirian Malaysia berhubung isu Palestin serta bersetuju perlu ada langkah segera untuk hentikan serangan ke atas Palestin,” kata Anwar dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Anwar memaklumkan, Rutte yang berada di Malaysia bagi lawatan kerja selama dua hari, akan turut menghubungi pemerintah Israel dan juga melalui Qatar supaya dapat ada rundingan bagi menghentikan serangan itu.
“Saya memuji sikap Rutte yang mengambil sikap lunak untuk mendengar dan memberikan pandangan mengenai isu Palestin selain memberi jaminan supaya pandangan Malaysia dibawa untuk perhatian rakan-rakan di Eropah,” kata Anwar lagi.
Kata Perdana Menteri lagi, beliau turut menyuarakan ketegasan Malaysia supaya ada usaha menjamin keamanan dan menghentikan serta merta keganasan ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa seperti anak kecil, wanita, orang awam serta kawasan hospital dan sekolah.