Isteri, dua anak ketua wartawan Al Jazeera di Gaza maut
GAZA – Isteri, dua anak dan cucu kepada Ketua Biro Al Jazeera di sini, Wael Dahdouh maut dalam serangan udara oleh Israel yang menyasarkan orang awam, semalam.
Dalam satu rakaman yang ditayangkan di saluran berita Al Jazeera menunjukkan Dahdouh memasuki Hospital Al-Aqsa di Deir el-Balah untuk melihat jenazah ahli keluarganya itu.
Dahdouh yang dilihat menyentuh wajah anak lelakinya yang berusia 15 tahun, Mahmoud, yang ingin menjadi wartawan seperti ayahnya.
Rakaman itu turut menunjukkan dia memegang tubuh anak perempuannya yang berusia tujuh tahun, Sham, yang berlumuran darah setelah serangan di kem pelarian Nuseirat.
Manakala cucu Dahdouh, Adam, difahamkan meninggal dunia dua jam kemudian.
Seorang lagi anak Dahdouh, Yehia mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan terpaksa dirawat segera bagi menghentikan pendarahan di lokasi kejadian.
Sementara itu, ketika ditemui Al Jazeera, Dahdouh berkata, serangan yang dilakukan rejim Zionis itu jelas secara sengaja menyasarkan kanak-kanak, wanita dan warga emas.
“Saya baru saja melaporkan dari Yarmouk tentang serangan seperti itu, dan tanpa disangka serangan Israel telah menyasarkan banyak wilayah, termasuk Nuseirat.
“Sebelum ini terdetik difikiran bahawa Israel tidak akan membiarkan mereka yang mencari tempat perlindungan tanpa menghukum mereka. Dan sayangnya telahan ini tepat apabila serangan seperti ini berlaku di wilayah yang ‘aman’ iaitu di kem pelarian,” katanya.