KKM akan serap lebih 2,000 doktor kontrak ke perjawatan tetap menjelang Disember
IPOH – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyerap seramai 2,083 lagi pegawai perubatan kontrak ke perjawatan tetap menjelang Disember tahun ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 12,800 perjawatan tetap yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023.
“Kita telah mendengar bahawa diberikan perjawatan tetap itu 12,800 untuk tiga tahun berturut-turut. Insya Allah dengan kerjasama SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam), kita pula akan uruskan untuk menawarkan pelantikan tetap untuk 2,083 lagi tambahan pegawai perubatan kontrak ke tetap.
“Jadi insya-Allah kita jangka untuk mereka melapor diri ke fasiliti kita pada akhir Disember ini,” kata Dr Zaliha selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Dewan Seri Perdana ILKKM Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Latihan KKM, Noor Aini Ahmad.
Dr. Zaliha berkata, sebahagian penempatan pegawai perubatan kontrak telah selesai dilaksanakan pada akhir bulan Julai lalu.
Beliau seterusnya menambah, sehingga 23 September 2023, terdapat seramai 37,058 pegawai kontrak di negara ini manakala kekosongan perjawatan pula sebanyak 31,459.
“Kekosongan perjawatan itu sebenarnya kita telah tampung dengan pegawai-pegawai kontrak.
“Kalau kita kirakan peratusan itu maksudnya 27 peratus daripada kekosongan itu telah pun kita penuhi, itu situasi pada ketika ini,” katanya.