Berita Semasa

Talent Corp iktiraf majikan, pekerja melalui anugerah Life At Work 2023

KUALA LUMPUR – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) baru-baru ini menganjurkan Majlis Anugerah Life At Work 2023 bagi meraikan majikan berwawasan dalam menyediakan tempat kerja yang menyokong potensi pekerja.

Sebanyak 30 anugerah daripada 8 kategori disediakan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang majikan dan individu dari aspek penglibatan pekerja, pengambilan pekerja yang pelbagai, amalan kemampanan serta kecemerlangan kepimpinan.

Di dalam majlis tersebut, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar memuji TalentCorp yang memainkan peranan penting dalam menganjurkan Life At Work 2023 serta menggariskan sumbangan besar yang telah dilaksanakan untuk memajukan prinsip Malaysia Madani.

“Tenaga kerja yang majmuk merupakan tenaga kerja yang inovatif. Dalam mengejar transformasi ekonomi, kita perlu membina pasaran buruh yang lebih bersedia untuk ekonomi masa depan serta sesuatu pekerjaan yang lebih berkemahiran demi pertumbuhan produktiviti yang lebih tinggi.

“Para finalis dan pemenang Life At Work 2023 menunjukkan komitmen berterusan mereka bukan sahaja dalam aspek mengekalkan kumpulan bakat Negara, tetapi juga untuk menarik bakat global, yang penting demi kemajuan negara kita,” katanya Sivakumar.

Anugerah Life At Work yang dianjurkan TalentCorp baru-baru ini.

TalentCorp mula menganjurkan anugerah Life At Work pada tahun 2013 namun ditangguh ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.

Tahun ini anugerah yang dinanti-nantikan kembali dan menyaksikan penyertaan daripada 112 syarikat yang mewakili pelbagai industri termasuklah perkhidmatan kewangan, perkhidmatan profesional, minyak dan gas, pembinaan, pembuatan, perkhidmatan perniagaan global, penjagaan kesihatan, barangan pengguna yang bergerak pantas, runcit, pelancongan dan teknologi maklumat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat TalentCorp, Thomas Mathew berkata, inisiatif Life At Work merupakan komitmen TalentCorp mewujudkan persekitaran inklusif di mana semua pekerja tanpa mengira latar belakang dapat merealisasikan potensi penuh mereka.

“Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan dan sasaran ekonomi Madani untuk meningkatkan tenaga kerja wanita, Perdana Menteri dalam ucapan belanjawan 2024 baru-baru ini telah mengumumkan insentif cukai dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027 bagi wanita yang kembali berkerja menerusi Program Kembali Bekerjaya TalentCorp.

“Untuk memastikan hasrat tersebut dicapai, TalentCorp akan membawa pelbagai inisiatif lain, termasuk galakan penubuhan Pusat Asuhan Kanak-Kanak di tempat kerja, Aturan Kerja Fleksibel, Program Mentor dan Rangkaian Wanita dan banyak lagi,” ujar beliau.

Anugerah Life At Work 2023 bukan sahaja meraikan kecemerlangan tetapi turut memberi inspirasi serta membina komitmen kolektif ke arah tempat kerja yang inklusif demi kesejahteraan pekerja.

Majlis tersebut menerima kehadiran seramai 700 orang tetamu jemputan termasuk Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, para pegawai kanan pelbagai kementerian dan agensi, wakil industri serta finalis anugerah itu.

Antara pemenang anugerah bagi tahun 2023 termasuklah Malayan Banking Berhad untuk kategori Organisasi Terbaik Malaysia, Ciba Vision Johor untuk Organisasi Antarabangsa Terbaik, Yayasan Pahang untuk Organisasi Sektor Awam Terbaik, dan Pusat Mata Laser Vista untuk Organisasi Kecil & Sederhana Terbaik.

Show More

Related Articles

Back to top button