Berita Semasa

Sistem PaDU perkemas pemberian bantuan kerajaan

KUALA LUMPUR – Sistem Pangkalan Data Utama (PaDU) berupaya memperkemas pelaksanaan pemberian bantuan kerajaan dengan lebih meluas dan menyeluruh.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, apabila siap sepenuhnya, PaDU mampu menyalurkan data secara terperinci mengenai bantuan yang diterima oleh rakyat.

“Kita boleh tahu semua bantuan kerajaan yang perolehi oleh setiap rakyat secara keseluruhannya melalui pangkalan data PADU seperti bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sumbangan Tunai Rahmah.

“Kadang-kadang bantuan itu bertindih-tindih, jadi kita tak mahu lah… jadi jika kita dah dapat satu bantuan tertentu mungkin kita boleh bagi kepada orang lain,” katanya ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio, hari ini.

PaDU merupakan sistem yang menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini dan mengandungi maklumat lebih daripada 200 pangkalan data.

Ia akan digunakan bagi menyelaras pengumpulan maklumat negara secara berpusat dan bersepadu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Mei lalu berkata, pelaksanaan PaDU itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang turut bermatlamat mengenal pasti ketirisan yang wujud sekali gus menambah baik pelaksanaan sistem subsidi kepada golongan sasaran.

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula berkata pada bulan lepas, sistem PaDU yang mula dibangunkan sejak Mei itu sudah mencapai 60 peratus dan sedia untuk digunakan pada Januari tahun hadapan.

Show More

Related Articles

Back to top button