Berita Semasa

Hentikan segera kegilaan Israel – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Seluruh dunia perlu mengambil tindakan tegas terhadap Israel yang telah hilang perikemanusiaan apabila mengebom Hospital Al-Ahli al-Arab di tengah Gaza sehingga menyebabkan 500 orang terbunuh.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara besar dunia perlu mengambil tindakan tegas bagi menghentikan kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat palestin.

“Negara-negara Barat khususnya Amerika Syarikat juga perlu bertanggungjawab terhadap kegilaan rejim apartheid Zionis membunuh nyawa insan yang tidak berdosa kerana sentiasa berada di belakang Israel untuk bertindak ke atas Palestin.

“Tindakan tidak berperikemanusian rejim apartheid Zionis ini harus dihentikan segera bagi mengelakkan tragedi yang lebih buruk dalam sejarah dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal pagi tadi, seluruh dunia dikejutkan dengan tindakan kejam rejim Zionis mengebom sebuah hospital di Gaza hingga mengorbankan ratusan nyawa tidak berdosa.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menggesa semua negara Islam bersatu dan mengambil tindakan yang lebih tegas dalam membela serta mempertahankan rakyat Palestin yang sedang dibunuh secara beramai-ramai.

“Harus ditegaskan sekali lagi, konflik yang berlaku ini adalah berpunca daripada sejarah panjang bagaimana Israel secara sistematik menzalimi, membunuh dan merampas tanah rakyat Palestin.

“Saya mendoakan supaya saudara-saudara kita di Palestin khususnya di Gaza sentiasa di lindungi Allah SWT dan terus berjuang untuk mempertahankan tanah air sendiri,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button