Berita SemasaSukan

ISN wujudkan Klinik Kesihatan Wanita

Bagi tangani isu-isu kesihatan atlet wanita

BUKIT JALIL – Institut Sukan Negara (ISN) mengambil inisiatif mewujudkan Klinik Kesihatan Wanita bagi menangani isu-isu kesihatan atlet wanita.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, klinik di Pusat Perubatan Sukan Negara, ISN tersebut telah mula dibuka sejak 4 Okt, dan beroperasi pada setiap hari Rabu, dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari .

“Klinik tersebut diwujudkan selepas mendapat maklum balas yang diterima daripada sesi townhall yang telah dikendalikan bersama atlet wanita pada bulan Ogos lepas,” kata Hannah, hari ini.

Klinik tersebut dikendalikan oleh Dr. Jerilee Azhary, seorang Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pelawat yang dilantik ISN daripada Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

ISN turut melantik seorang doktor wanita secara tetap iaitu Dr. Wan Nadiah Zainab Wan Azman bagi memberi perkhidmatan perubatan kepada atlet-atlet wanita negara.

Antara perkhidmatan yang diberikan adalah seperti khidmat perundingan dan konsultasi, pemeriksaan kesihatan wanita, rujukan luar dan sesi pendidikan kesihatan wanita.

“Pihak ISN akan sentiasa komited dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan seterusnya meningkatkan penyerlahan potensi atlet negara untuk prestasi yang cemerlang.

“Diharapkan perkhidmatan terbaharu ISN ini dapat dimanfaatkan oleh semua atlet wanita di bawah Program MSN dalam bersama-sama membantu menangani isu-isu kesihatan wanita dalam sukan,” kata Hannah lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melancarkan Kod Sukan Selamat (Safe Sports Code) yang berfungsi untuk melindungi komuniti sukan daripada sebarang bentuk penderaan, gangguan dan keganasan dalam sukan yang menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.

Ia juga bertujuan untuk mengukuhkan aspek integriti dalam tadbir urus badan sukan dan ekosistem sukan Malaysia secara menyeluruh.

Salah satu intipati yang ditekankan dalam Kod Sukan Selamat adalah aspek keselamatan, kesihatan dan gangguan yang dialami oleh atlet wanita.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sememangnya pada masa ini memberikan penekanan kepada program dan inisiatif berkaitan wanita dalam sukan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan,” jelas Hannah.

Show More

Related Articles

Back to top button