KPM tarik diri sertai Pesta Buku Frankfurt
PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan penarikan diri Kementerian Pendidikan daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt yang akan berlangsung pada 18 hingga 22 Oktober di Jerman.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira sikap pro-Israel serta sokongan terbuka daripada pihak penganjur kepada rejim Israel.
“KPM tidak akan sesekali berkompromi terhadap keganasan Israel di Palestin.
“Ia jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia,” kata Fadhlina dalam satu kenyataan dimuat naik di akaun X miliknya, sebentar tadi.
Beliau menambah, keputusan KPM itu juga selari dengan pendirian kerajaan untuk sentiasa bersolidariti dan memberi sokongan penuh kepada Palestin.
Terdahulu, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah turut mengumumkan penarikan diri mereka daripada menyertai pameran buku tersebut.
Untuk rekod, Pengarah Frankfurter Buchmesse yang menganjurkan pameran tersebut, Juergen Boos telah mengumumkan mahu menjadikan suara Yahudi dan Israel kelihatan terutamanya di pesta buku nyata mengundang rasa kurang senang banyak pihak.