McDonald’s Malaysia 100% entiti milik Muslim
KUAKA LUMPUR – Tindakan McDonald’s Israel yang menyumbang makanan kepada tentera Rejim Zionis itu merupakan tindakan persendirian, demikian menurut McDonald’s Malaysia (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd).
Katanya, tindakan itu adalah pasaran bebas dan tidak mencerminkan nilai atau amalan syarikat pengendali restoran makanan segera tempatan itu.
“McDonald’s Malaysia menyedari perbincangan terbaru di media sosial berkenaan McDonald’s Israel.
“Keputusan unilateral yang dibuat oleh pemegang francais individu tidak boleh dianggap sebagai tindakan global, dasar syarikat atau pendirian politik rasmi yang diambil oleh McDonald’s secara global
“Tindakan pengendali McDonald’s di Israel menjadi contoh tindakan individu tersebut dan ia bukan keputusan global dan tidak diluluskan oleh mana-mana pengendali tempatan lain,” kata McDonald’s Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.
Pada Jumaat, McDonald’s Israel mengumumkan restoran makanan segera itu mengedarkan makanan secara percuma kepada tentera dan warga Israel selepas pejuang Hamas melakukan serangan.
Mengulas lanjut, McDonald’s Malaysia berkata, adalah penting untuk memahami bahawa Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd adalah sebuah syarikat operasi tempatan.
“Sejak pengambilalihannya oleh Lionhorn Pte. Ltd. di bawah syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi pada 2017, ia telah menjadi entiti 100 peratus milik Muslim.
“Sejak itu, McDonald’s telah menyumbangkan pembayaran zakat dan terus melakukannya setiap tahun.
“Sehingga 2023, kami telah menyumbang lebih RM12 juta dalam pembayaran zakat ke 14 negeri di seluruh Malaysia dan menyokong komuniti yang kurang berkemampuan,” jelasnya.
McDonald’s Malaysia turut menyatakan komitmen dalam perkhidmatan dan memberi semula kepada komuniti tempat restoran beroperasi.
“Selain itu, McDonald’s Malaysia turut menggaji beribu-ribu bakat tempatan dan melabur dalam ekonomi dan komuniti tempatan,” katanya lagi.