Malaysia kekal di kedudukan pertama IFDI global untuk 10 tahun berturut-turut – PM
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus memperkukuh daya saing Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).
Di samping itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi aktiviti pemerolehan dana dan pelaburan Islam serta hab takaful semula.
“Alhamdulillah, Malaysia kekal pada kedudukan pertama dalam keseluruhan Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) global untuk 10 tahun berturut-turut. MIFC akan terus memperkukuh daya saing negara dalam bidang kewangan Islam di samping mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi
aktiviti pemerolehan dana dan pelaburan Islam serta hab takaful semula.
“Bagi mendalami nilai-nilai universal ekonomi Islam dan pengalamannya dalam konteks semasa, Kerajaan menyediakan RM20 juta bagi merancakkan kajian serta kreativiti dan inovasi ekonomi Islam.
“Usaha ini akan diterajui oleh Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dengan penglibatan bersama MIFC dan industri,” katanya dalam Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu katanya, kerajaan juga mencadangkan untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang terbit daripada Islamic Securities Selling and Buying (ISSB) mulai tahun taksiran 2024.
Katanya, ini bagi meningkatkan keseluruhan jumlah dagangan sekuriti dan kecairan pasaran saham patuh
syariah melalui penglibatan lebih ramai pelabur dan broker dalam transaksi ISSB selain memastikan layanan setara yang diberikan bagi transaksi Securities Borrowing and Lending (SBL).
Selain itu katanya, bagi menyokong pembangunan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) sebagai hab kewangan Islam dan patuh syariah, kerajaan turut bercadang untuk mengecualikan cukai
pendapatan sepenuhnya selama 5 tahun kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perdagangan berkaitan kewangan Islam seperti perbankan digital Islam, bursa digital Islam, syarikat berkaitan ummah dan
pengeluar token digital Islam mulai tahun taksiran 2024.