Berita SemasaSukan

TMJ puas hati pemasangan rumput baharu di Stadium Nasional

BUKIT JALIL – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpuas hati dengan pemasangan rumput baharu di padang Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pemasangan rumput jenis Zeon Zoysi yang dikurniakan oleh Tunku Ismail merupakan fasa terakhir dalam menaik taraf padang stadium tersebut supaya setaraf dengan padang bola sepak peringkat antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut memberitahu bahawa Tunku Ismail memberikan beberapa cadangan mengenai penyelenggaraan rumput di padang berkenaan.

“Tunku Ismail kelihatan puas hati dengan status dan telah memberikan beberapa cadangan mengenai penyelenggaraan padang tersebut.

“Kita berharap esok dapatkan maklum balas daripada Kim Pan Gon (Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Malaysia) dan pasukan Harimau Malaya kerana mereka yang akan gunakan padang ini.

“Saya lihat hijau cantik, tetapi bagi pemain bola sepak mereka ada komen masing-masing. Jadi, saya rasa pasukan Harimau Malaya boleh komen. Setakat ini Tuanku puas hati,” katanya pada satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Terdahulu, Hannah mengiringi Tunku Ismail meninjau keadaan padang stadium berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksektif Perbadanan Stadium Malaysia, Mohd Faidz Sanusi.

Hannah seterusnya memberitahu, kerja-kerja menaik taraf padang Stadium Nasional tersebut menelan belanja keseluruhan sebanyak RM4.7 juta.

“Kos tersebut termasuk pembinaan dan penyelenggaraan, pembelian mesin dan peralatan, kerja pemasangan laluan paip baharu dan kabel elektrik,” kata Hannah yang kemudiannya menambah, kos pembelian rumput Zeon Zoysi tidak termasuk dalam kos keseluruhan kerana ia merupakan kurniaan Tunku Ismail.

Show More

Related Articles

Back to top button