Kak Lina undur diri dari program All Stars Gegar Vaganza
KUALA LUMPUR – Pengacara terkenal, Elly Mazlein atau lebih mesra dengan gelaran Kak Lina membuat keputusan mengejutkan dengan mengundurkan diri sebagai pengacara program All Stars Gegar Vaganza.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, keputusan Kak Lina tidak lagi bersama keluarga besar Gegar Vaganza adalah disebabkan hal peribadi.
“Dengan rasa berat hati Astro dan Kak Lina (Elly Mazlein) ingin mengumumkan pengunduran Kak Lina dari program All Stars Gegar Vaganza atas hal-hal peribadi. Walaupun berasa sedih, pihak Astro menghormati keputusan yang diambil.
“Pihak Astro ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kak Lina atas kesungguhan dan komitmen yang diberikan sepanjang siaran All Stars Gegar Vaganza.
“Pastinya para peminat Kak Lina masih berkesempatan untuk menonton personaliti yang disayangi ramai menerusi program-program Astro yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Kak Lina turut mengemukakan permohonan maaf kerana tidak dapat meneruskan tugasnya mengacara All Stars Gegar Vaganza di samping Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
“Kak Lina ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong Kak Lina sepanjang siaran All Stars Gegar Vaganza. Sesungguhnya Kak Lina amat menghargainya.
“Insya-Allah, kita doakan rancangan All Stars Gegar Vaganza terus berjaya dan Kak Lina berharap agar peminat-peminat kekal menyokong semua bintang GV yang bertanding,” kata Kak Lina.
All Stars Gegar Vaganza akan terus dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse serta barisan juri profesional dan bintang-bintang yang bertanding.