Berita Semasa

MyAqsa Defenders lancar kempen #IsraelCuak

BANGI – Rakyat di negara ini diminta agar menggunakan media sosial untuk ‘menyerang’ Israel dengan mengutuk kekejaman tentera Zionis, demikian pinta Pengerusi MyAqsa Defenders, Nadir Al Nuri Kamaruzaman.

Menurut Nadir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), serangan tersebut adalah dengan memuat naik #IsraelCuak di laman media sosial masing-masing.

Katanya, kempen yang dilancarkan MyAqsa Defenders itu turut mendapat sokongan puluhan NGO lain yang bersama-sama membela nasib rakyat Palestin.

“Kita ingin menghasilkan gelombang untuk ‘menggegarkan’ Israel dan kami menyeru untuk mana-mana pempengaruh, individu dan perkumpulan yang berani untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ketika ini mempertahankan tanah air mereka dengan sertai gelombang ini.

“Operasi #TaufanAlAqsa yang bermula Sabtu lalu (7 Oktober) telah ‘menggegarkan’ entiti haram Israel dan ayuh kita bersama gegarkan sosial media kita dengan sokongan padu ini!. Kita tunjukkan suara-suara dari Malaysia!,” katanya yang juga satu-satunya rakyat Malaysia yang menetap di Gaza di sini, hari ini.

Pengerusi MyAqsa Defenders, Nadir Al Nuri Kamaruzaman.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nadir yang kini berada di Malaysia sejak tiga minggu lalu, turut berkongsi berhubung keadaan keluarganya di Gaza.

“Semalam sebelum solat Asar (waktu Malaysia) berlaku serangan roket di sebuah dewan yang beberapa meter dari rumah kami (di Gaza).

“(Bagaimanapun) isteri serta tujuh anak selamat dan mereka sudah berpindah ke tempat selamat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button