KDN wartakan larangan buku ‘When I Was A Kid 3’
KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan Perintah Larangan terhadap penerbitan buku bertajuk ‘When I Was A Kid 3’ karya penulis, Cheeming Boey.
KDN menerusi kenyataan berkata, larangan melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 283 bertarikh 25 September 2023 dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Katanya, ia menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan tersebut adalah dilarang secara mutlak di negara ini.
“Kerajaan ingin menyatakan komitmen yang berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman, dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan yang boleh mengancam keharmonian dan perpaduan nasional demi kesejahteraan bersama.
“Dalam hal ini, hasil penerbitan tersebut dikenakan tindakan Perintah Larangan kerana ianya merupakan hasil penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan moral, kepentingan awam, dan kepentingan Negara dengan menimbulkan kebimbangan dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
KDN berkata, berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan.
Jelasnya, apabila disabitkan, ia boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
“KDN sekali lagi ingin menyatakan komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan bagi membanteras penyebaran elemen, fahaman, dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan dari semasa ke semasa secara berterusan.
“Ia selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.