Agama

Hadiah berharga diterima sebelum meninggal wajib difaraid, tidak boleh dibahagi ikut suka

KUALA LUMPUR – Sebarang hadiah kemenangan yang masih belum diterima oleh mana-mana individu sebelum meninggal dunia tetap perlu melalui proses faraid.

Menurut Pengarah Komersial Mawarith Integrated Sdn Bhd (MiiM), Hadi Pilus, situasi tersebut terpakai kepada semua umat Islam dan ia perlu dipatuhi mengikut undang-undang syariah.

Beliau berkata, isu melibatkan harta pusaka perlu diuruskan dengan teliti supaya tiada mana-mana pihak teraniaya.

“Apakah terjadi apabila seseorang artis, ahli sukan atau penerima hadiah kemenangan ditakdirkan meninggal dunia sebelum menerima hadiah? Adakah perlu melaporkan hadiah kemenangan ini dalam pentadbiran pusaka?

“Perlu difahami, pusaka walau dalam apa bentuk aset perlu melalui proses pentadbiran, kerana ia melibatkan banyak pihak berkepentingan. Selain melibatkan isu syariah iaitu faraid dan isu sivil iaitu pembayaran yang perlu dibuat oleh pihak syarikat atau yang memberikan hadiah berkenaan,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Hadi berkata demikian sebagai mengulas mengenai keluhan waris kepada pelakon dan pelawak Allahyarham Hamid Gurkha dikatakan masih menantikan wang berjumlah RM10,000 daripada sebuah syarikat rancangan TV yang tertunggak sejak tahun lalu.

Menurut laporan Harian Metro, anak perempuan kepada Allahyarham, Nor Azian memaklumkan bahawa arwah bapanya telah dianugerahkan Anugerah Sepanjang Zaman MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2021 yang berlangsung pada Mei tahun lalu dan diberi hadiah wang bernilai RM10,000.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Hadi berkata, meskipun waris Allahyarham telah setuju secara muafakat untuk menyerahkan kepada satu pihak, proses pentadbiran sivil melalui agensi yang berkaitan perlu dilaksanakan untuk menjamin kepentingan semua pihak.

“Ia bukan isu nilai, tetapi isu tatakelola dan integriti. Waris perlu kenal pasti agensi yang boleh menguruskan pusaka tersebut, berbalik kepada isu dibincangkan, waris boleh merujuk kepada Amanah Raya Berhad jika hanya wang hadiah tersebut menjadi pusaka kerana ia adalah harta alih di bawah nilaian RM600,000.

“Jika arwah mempunyai harta tidak alih lain seperti rumah, waris boleh berurusan di pejabat pesaka kecil untuk proses pusaka. Kedua-dua agensi ini tidaklah memerlukan kepada caj yang tinggi.

“Peguam kebiasaannya diperlukan untuk nilaian aset di atas nilai melebihi RM2 juta yang mana perlu diuruskan di Mahkamah Tinggi Sivil.

“Kesemua proses ini perlu dilakukan untuk mendapatkan surat kuasa kepada pentadbir untuk diserahkan kepada agensi atau syarikat sebagai bukti tuntutan pusaka secara sah di sisi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Hadi turut menasihatkan orang ramai khususnya umat Islam supaya mengambil tahu mengenai isu harta pusaka supaya tidak menimbulkan sebarang masalah di kemudian hari

Dengan pemahaman yang lebih baik, katanya, setiap individu dapat memastikan bahawa harta mereka diuruskan dengan teliti dan diwarisi dengan adil.

“Oleh itu, adalah penting untuk mendekati setiap kes dengan teliti dan mendapatkan nasihat profesional jika perlu.

“Dengan pemahaman yang lebih baik tentang pentadbiran pusaka, artis-artis dan individu lain dapat memastikan bahawa harta mereka diuruskan dengan betul dan disebarkan mengikut kehendak mereka serta dalam kepentingan keluarga mereka,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button