Monsun Timur Laut: 332 PPS disediakan hadapi banjir di Sabah
PAPAR – Sabah telah bersedia menghadapi bencana terutama banjir dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini apabila sebanyak 332 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dikenal pasti untuk beroperasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kesemua PPS itu mampu menempatkan seramai 129,096 orang dalam satu-satu masa.
Beliau berkata, pihaknya mendapat maklum balas positif daripada kerajaan Sabah dalam menghadapi MTL tahun ini dan berdasarkan MTL tahun lepas, sebanyak 15 daerah di Sabah dilanda banjir dengan pembukaan 103 PPS melibatkan 17,565 mangsa.
“Jadi 15 daerah di Sabah ini yang berhadapan risiko banjir, kawasan titik panas, saya harap kawasan dan daerah ini memastikan kesiapsiagaan termasuk PPS, pihak berkuasa tempatan juga diharap periksa longkang dan saliran supaya tidak tersumbat.
“Saya juga menyeru semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memastikan persiapan dan koordinasi peringkat daerah dilaksanakan serta-merta untuk menyelaras agensi juga NGO (badan bukan kerajaan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jaringan Komuniti Madani (Jakma) di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan banjir yang berlaku di daerah Beaufort sejak 22 September lepas telah pulih sepenuhnya dan 134 penduduk yang ditempatkan di PPS Dewan Selagon telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.