Ismail Sabri sifatkan bahasa Melayu mampu duduk sebaris dengan bahasa utama dunia
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan bahasa Melayu mampu duduk sebaris dengan bahasa-bahasa utama dunia yang lain.
Menurutnya, walaupun selepas 66 tahun merdeka, rakyat di negara ini masih bergelut untuk memartabatkan bahasa sendiri, sehinggakan ada di antara pemimpin negara yang merasa canggung atau ‘lekeh’ untuk menggunakan bahasa ibunda di pentas antarabangsa.
Katanya, sewaktu beliau menerajui kerajaan, pelbagai usaha telah digerakkan bagi menjulang bahasa Melayu ke satu peringkat yang lebih tinggi, sekali gus mempromosi identiti Malaysia di pentas dunia.
“Pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, saya telah menggunakan bahasa Melayu untuk berucap pada perhimpunan diplomatik terbesar dunia itu.
“Ia adalah bukti bahawa bahasa Melayu boleh duduk sebaris dengan bahasa-bahasa utama dunia yang lain.
“Dalam urusan hal ehwal luar negara, saya juga telah mengarahkan kesemua urusan surat menyurat daripada negara kita kepada pemimpin tertinggi negara luar menggunakan bahasa Melayu dengan terjemahan bahasa Inggeris sebagai lampiran.
“Ketika rundingan dua hala di peringkat antarabangsa, saya menggunakan bahasa Melayu dan saya tidak nampak cacat celanya rundingan itu apabila menggunakan bahasa Melayu,” katanya dalam ucapan beliau sebelum merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau mengakui akan peranan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dalam memperkasa dan menambah baik penggunaan bahasa Melayu seiring dengan perkembangan semasa.
Namun katanya, kuasa DBP untuk mengambil tindakan dari segi penyalahgunaan bahasa Melayu dilihat terhad dan tidak meluas.
Justeru katanya, Akta DBP 1959 perlu dipinda bagi memberikan lebih kuasa kepada DBP untuk mengambil tindakan dari segi penyalahgunaan bahasa Melayu, namun hasrat tersebut tidak sempat dilaksanakan disebabkan peralihan kerajaan.
“Saya berharap usaha ini diteruskan dan diberikan perhatian oleh Kerajaan hari ini agar bahasa Melayu dapat diperkasakan dan digunakan secara menyeluru,” katanya lagi.