Berita Semasa

Wujudkan agensi tunggal selaras bantuan rakyat – Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan mewujudkan sebuah agensi tunggal yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi menyelaras bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, langkah itu penting bagi membentuk satu sistem jaringan keselamatan sosial yang holistik, sistematik dan teratur.

“Model Centrelink di Australia boleh dirujuk. Dalam konteks ini, kementerian dan agensi boleh merangka program dan inisiatif bantuan rakyat, tetapi agensi tunggal akan membuat penilaian untuk melihat siapakah yang layak menerima bantuan dan berapakah nilai yang sepatutnya diterima.

“Penilaian dibuat berpandukan maklumat di dalam pangkalan data bagi memastikan tiada pertindihan bantuan dan tidak ada seorang pun yang layak, tertinggal daripada menerima bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Radzi berkata, langkah itu juga sebenarnya tidak memerlukan perjawatan baharu sebaliknya, penjajaran anggota perkhidmatan awam yang terlibat dalam pelbagai program bantuan rakyat boleh dibuat.

Tambahan pula, katanya, cadangan pelaksanaan subsidi bersasar yang dibuat tanpa pewujudan satu jaringan keselamatan sosial yang ampuh akan menyebabkan ramai rakyat yang memerlukan tidak akan termasuk
dalam kumpulan sasar, khususnya mereka yang ketika ini ditakrifkan sebagai kumpulan M40.

Sementara itu, Radzi juga menggesa kerajaan untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM15 bilion bagi RMKe-12 untuk membaiki kuarters kerajaan dan infrastruktur awam di Putrajaya.

“Mengambil kira bahawa Putrajaya merupakan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, saya memohon agar kerajaan menyediakan peruntukan khas sekurang-kurangnya RM1.5 bilion setahun untuk tempoh dua tahun bagi melaksanakan pembaikian dan penyelenggaraan kuarters kerajaan serta infrastruktur awam di Putrajaya.

“Peruntukan ini adalah tambahan daripada peruntukan sedia ada,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga meminta supaya kerajaan membina fasiliti sukan baharu untuk kemudahan penduduk di Putrajaya.

“Saya ingin memohon agar kementerian dapat membina padang hoki di Putrajaya bagi kegunaan latihan dan
pertandingan; menyediakan kemudahan gelanggang tertutup bola jaring; melaksanakan penyelenggaraan segera ke atas fasiliti sukan seperti gelanggang futsal, skuasy, dan badminton dan menyegerakan proses menaiktaraf Gelanggang Futsal Mokhtar Dahari Presint 18 kepada gelanggang berbumbung sepenuhnya,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button