Berita Semasa

PM terima kunjungan hormat Gloria Macapagal Arroyo

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Filipina, Gloria Macapagal Arroyo di bangunan Parlimen di sini.

Perdana Menteri berkata, Arroyo yang tiba pada pukul 11.50 pagi turut disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan timbalannya, Ramkarpal Singh.

“Saya maklumkan, salah satu pencapaian dalam pembaharuan undang-undang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan ialah pemansuhan hukuman mati mandatori.

“Hatta, hari ini merupakan suatu penghormatan kepada Malaysia untuk menerima perwakilan International Commission Against the Death Penalty (ICDP) untuk membincangkan usaha ini,” katanya satu hantaran dalam laman Facebook rasmi miliknya.

Selain Arroyo yang juga Pesuruhjaya ICDP, yang hadir sama ialah Timbalan Presiden ICDP, Ruth Dreifuss, Pengarah Eksekutif ICDP, Dr Rajiv Narayan; bekas Pengarah Eksekutif ICDP, Asunta Vivo Cavaller dan Pegawai Khas kepada Pesuruhjaya ICDP, Annie Andanar.

Dalam pada itu, Anwar berkata, mereka juga menzahirkan rasa bangga atas kejayaan Malaysia dalam memansuhkan hukuman dijadikan platform untuk mendengar pandangan dan pengalaman mereka dalam memperjuangkan usaha serupa di seluruh dunia.

“Saya berharap kerjasama utuh bersama pihak ICDP akan dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button