PRK: Wanita UMNO zahir ucapan tahniah kepada Suhaizan, Nazri
KUALA LUMPUR – Wanita UMNO menzahirkan ucapan tahniah kepada kepada dua calon Kerajaan Perpaduan, Suhaizan Kayat dan Nazri Abdul Rahman di atas kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram malam tadi.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata keputusan dengan majoriti yang memberangsangkan itu membuktikan bahawa kerjasama antara parti yang kukuh di dalam Kerajaan Perpaduan diterima oleh rakyat Johor, sekali gus meneruskan kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Kemenangan ini juga membuktikan rakyat Johor mahu melihat negeri ini menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030 di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Kecemerlangan dan kemajuan ini hanya mampu dicapai dengan adanya sebuah kerajaan negeri yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Noraini, beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan yang telah bertungkus lumus berkempen untuk memastikan kemenangan tersebut.
Suhaizan yang Timbalan Pengerusi Amanah Johor, mempertahankan kerusi Parlimen Pulai apabila meraih 48,283 undi, menewaskan Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 29,642 undi, manakala calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi, meraih 528 undi.
Bagi DUN Simpang Jeram, Nazri meraih 13,844 undi menewaskan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya yang mendapat 10,330 undi dan calon Bebas, S Jegananthan, dengan 311 undi, sekali gus turut mempertahankan kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 lalu.
PRK kedua-dua kerusi diadakan susulan kematian kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lalu.