Berita Semasa

Penyediaan garis panduan kiosk ubat layan diri di PPR turut libatkan persatuan farmasi – Kor Ming

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bekerjasama dengan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dalam penyediaan garis panduan untuk kiosk ubat layan diri di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pandangan persatuan akan diambil kira susulan kebimbangan terhadap risiko keracunan akibat penjualan ubat tanpa kawalan.

Katanya, KPKT akan mengundang persatuan memberikan pandangan dalam menyediakan garis panduan itu, dan menambah kementeriannya juga giat berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita kerja sebagai satu pasukan, kita akan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan, kita akan bincang dengan semua pemegang taruh, termasuk kita akan libatkan persatuan farmasi. Mungkin mereka ada idea baik yang bernas. Kita bersama bina persepsi positif,” kata Kor Ming dalam satu sidang akhbar, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan MPS berhubung risiko keracunan jika cadangan mewujudkan mesin ubat layan diri dilaksanakan.

Presiden MPS, Amrahi Buang sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, setiap ubat yang digunakan mempunyai risiko tersendiri jika tidak diambil dengan betul dan pengguna seharusnya memahami kesan sampingan apabila memakannya; menggesa kerajaan memantapkan garis panduan penjualan ubat secara mesin layan diri di tempat awam.

Sebelum ini, KPKT mengumumkan pihaknya akan bekerjasama dengan KKM mewujudkan kiosk ubat layan diri di PPR seluruh negara.

Kemudahan itu adalah bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan ubat dan perubatan semasa kecemasan, khususnya ketika lewat malam.

Show More

Related Articles

Back to top button