Majlis Kedaulatan Sudan keluarkan dekri bubar RSF
ANKARA – Ketua angkatan tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dilaporkan sudah mengeluarkan dekri bagi pembubaran pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF) pada Rabu.
Laporal agensi Anadolu menyebut, al-Burhan yang mempengerusikan Majlis Kedaulatan sudah mengarahkan kepimpinan angkatan tentera dan pihak berkuasa melaksanakan dekri perlembagaan tersebut.
“Keputusan itu dibuat susulan pemberontakan pasukan berkenaan ke atas negara dan pelanggaran berat yang mereka lakukan terhadap rakyat, serta sabotaj yang disengajakan terhadap infrastruktur negara,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Kedaulatan.
Terdahulu, Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas pemimpin kanan dan komander RSF, Abdelrahim Hamdan Dagalo.
Sejak permulaan konflik bersenjata antara RSF dan angkatan bersenjata Sudan pada 15 April lalu, ribuan rakyat Sudan terbunuh manakala lebih 4 juta lagi kehilangan tempat tinggal, terutamanya di Khartoum dan Darfur.